Alam barzakh.
Assalamualaikum.
Kehidupan aku taklah semenyeksakan kehidupan waktu perang.
Makan cukup. Mandi cukup. Tidur tak berapa sebab sibuk melongo.
Tapi sebagai seorang remaja, belia yang masih lagi belum matang, aku suka menghiperbolakan besut sehingga menjadi gunung.
Dan bila orang canggah sikit, aku maki belakang macam dia pernah rampas dompet aku dan buang duit kat pachinko.
Wait what.
Apa-apalah.
Dan, belakangan ni aku makin banyak fikir tentang…hidup.
Lepas aku habis sekolah, lepas dah dapat kerja, lepas dihantar oleh Abah kepada lelaki yang bakal jaga aku seumur hidup, lepas dah dapat anak, lepas anak dah kawin, lepas dah pencen, lepas hembus nafas terakhir.
Terutama lepas hembus nafas terakhir.
Aku tak nak bunuh diri. Itu bukan sahaja suatu pekerjaan yang bodoh. Itu berdosa. Tambahan pahala tak cukup ditapau lagi.
Aku selalu terfikir pasal alam selepas itu. Nak merasa. Cuma bukan dengan cara meragut nyawa sendiri. Mahupun menyuruh orang meragut nyawa aku.
Jangan risau. Aku terfikir perkara ini pun sebab ini benda yang pasti; semua yang hidup akan ada akhirnya. Dan sebagai manusia yang suka menghiperbolakan perihal kecil, itu memang semestinya akan terlintas di fikiran.
—————
Tipu.
Aku terfikir pasal tu sebab deria keenam cikgu aku yang kadang-kala aku ragui.
Waktu itu kelas Bahasa Jepun. Kami(aku, budak Laos dan cikgu kami) borak-borak sampai ke topik yang paling aku tak suka dengar.
Hantu.
Dia kata orang Jepun suka bercerita cerita hantu waktu musim panas sebab bila cerita macam tu keluar, badan rasa seram sejuk dan tak payah pakai ekon(sila rujuk pos sebelum ini tentang betapa panasnya musim panas Jepun. PANAS GILA SIAL).
Dan, dia beritahu kami, dia merupakan antara Orang Tersebut, yakni yang mampu melihat makhluk halus.
Aku duduk kat tingkat satu seorang diri sebab Tingkat Satu(= Malaysia punya Ground Floor) khas disediakan untuk pelajar luar negara dan 専攻科生(pelajar…aku tak tahu dalam BM/BInya apa…pokoknya macam post-diploma, pre-master-ish…BAH aku tak tau) dan aku seorang sahaja kaum Hawa yang wujud dalam kedua-dua kategori tersebut. Di sebelah asrama kami ada satu bangunan, mungkin sekali gimnasium lama yang disumbat bermacam-macam jenis perabot dan barang-barang lama…macam stor besar lah. Dan di dinding luarnya ada akar pokok yang menjalar yang dah mati. Bayangkan betapa menakutkannya bangunan tersebut.
Aku bagitau cikgu aku janganlah cerita cerita hantu sebab aku ni penakut dan dari luar balkoni bilik aku, jarak dalam 5 meter atau kurang wujudnya bangunan berhantu tersebut.
Dan dia kata sesuatu yang aku tak berapa paham.
‘Jangan risau, saya dah tanya orang-orang kat situ, mereka kata tak ada apa-apa yang menakutkan, jadi jangan takut ya.’
Dalam hati aku, oh, dia pernah tanya pakcik dan makcik kawasan situ pasal kewujudan makhluk halus kat bangunan tu dan menurut kata-kata mereka dia pasti yang kat situ tak ada apa-apa yang menakutkan aku.
Waktu sesi ‘perbincangan’ tu aku tak perasan yang dia sebenarnya merujuk kepada ‘penduduk halus’ kawasan tersebut. Aku tak tahu kenapa, tapi dalam otak aku imej yang keluar ialah situ merupakan kawasan perumahan yang mengelilingi bangunan tersebut, macam Taman Seri Desa atau apakebenda. Tapi sepanjang perbincangan tersebut aku lupa yang situ merujuk kepada bangunan tersebut sahaja.
Dan, dia gatal sambung lagi cerita seram : dia kata malam-malam dia diganggu makhluk halus yang dia boleh nampak dari segi deria bunyi, deria sentuh, dan semestinya deria keenamnya; makhluk itu berbisik, makhluk itu angkat selimut, makhluk itu muncul.
Aku dah la tinggal sorang, memang sungguh, aku rasa macam tak nak malam datang langsung. Tambahan, aku bagitau dia yang waktu malam aku kadang-kadang dengar bunyi yang kedengaran dalam masa satu saat, macam satu serpihan kecil kaca jatuh(contoh ya; aku tak ingat apa yang aku dengar), atau bunyi skru jatuh.
Aku cuba meyakinkan diri yang bunyi-bunyi itu datang daripada bilik-bilik di tingkat atas.
Tapi dia dengan muka seriusnya cikgu aku kata, ‘Tak, itu pasti mereka.‘
Aku rasa roh aku terbang untuk lima minit waktu itu.
Kalau korang mampu tengok muka aku, aku yakin korang akan kata aku perlukan blood transfusion dengar kadar yang segera.
Aku tak dapat menumpukan perhatian pada apa yang diterangkan oleh cikgu dalam masa lima atau lebih minit tadi.
Kemudian.
Cikgu aku tanya.
‘Izzaty, awak ada datuk yang dah meninggal yang berumur 50-an ke atas?’
Aku teringatkan dua orang pakcik aku, kedua-duanya abang mak aku sebab dalam jangka masa muka aku pucat tadi, aku tersilap dengar ojisan(pakcik) bila cikgu aku cakap ojiisan(atuk).
‘Ada, dua orang.’
Aku ingatkan dia nak tanya mereka meninggal sakit apa apabila dia tiba-tiba buat penyataan dalam nada pertanyaan,
‘Badannya kurus.’
Dari yang pucat tadi, aku rasa memang roh aku sudah berada di dimensi lain untuk sejenak.
‘Dia kata jangan takut, jangan risau, dia akan jaga kamu daripada makhluk-makhluk jahat.’
Terpinga.
‘Dia tengok kamu ni macam lelaki, sepanjang masa berusaha sangat. Katanya jadilah macam perempuan lain, buat kerja perlahan-lahan.’
Sebak.
‘Dia kata malam-malam tidur, selimutlah kaki, kalau kaki sejuk tak elok untuk kesihatan.’
Terpaku.
‘Dia selalu buat bunyi-bunyi sejenak tu, sebab dia nak cuba berkomunikasi dengan kamu.’
Tergamam.
‘Dia nak kamu dan keluarga kamu tau yang waktu dia pergi dulu, dia tak rasa terseksa.’
Air mata bergenang.
‘Dia ayah mak kamu?’
Angguk. Sedangkan datuk paternal aku dulu pun kurus juga orangnya.
‘Dia tengok mak kamu sunyi. Dia minta kamu jaga mak elok-elok.’
Air mata keluar. Deras.
‘Jangan takut, atuk kamu akan jaga kamu.’
Sedu. Makin deras.
—————
Aku percaya dan tak percaya cakap dia lepas fikir dalam-dalam petang tu sebab aku rasa dia ni psychopath, macam yang aku tengok dalam satu episod House. Mungkin dia saja nak tengok reaksi aku apabila dia kata macam tu, atau dia cuba tenangkan aku daripada fikir banyak sangat pasal makhluk halus sampai tak boleh tidur seminggu.
Tapi masakan dia tau yang aku ni secara tidak sengaja berusaha setiap hari untuk mengatasi kaum Adam? Kalau nak tengok dari pakaian aku saja tak cukup. Dan aku sedar sepanjang kelas dia, aku berkelakuan agak sopan santun dan mungkin sedikit keperempuanan, langsung tidak menonjolkan perilaku kelelakian.
Dan masakan dia tau yang Tok Ayah itu kurus? Dan ayah kepada mak aku?
Dan dulu waktu aku tidur selalu jugalah selimut terselak di bahagian kaki walaupun sebelum tidur memang aku dah semat kemas-kemas kaki aku dalam selimut sebab takut jadi macam Ju-On yang tak pernah pun aku tonton.
Macam mana dia boleh tau pasal tu?
Lalu aku bermonolog luaran : Kalau Atuk betul ada kat sini, malam ni sila buat bunyi. Mekasih.
—————
Malam.
Aku tidur bertemankan heater, dan tak ada pergerakan angin langsung dalam bilik.
Hampir terlelap.
Terdengar bunyi seperti ada orang lalu tepi plastik yang aku letak di tombol pintu.
Walaupun bunyinya seperti plastik itu terletak di luar bilik.
—————
Dan aku hanya mampu percaya.
Tok Ayah memang sentiasa menemani aku.
Daripada apa yang saya faham, orang yang mati tidak akan dihidupkan semula, lagi – lagi kalau dia menjalani hidup yang baik dan dijanjikan syurga di kubur, buat apa dia mahu datang semula ke alam fana
kai
24 July 2010 at 07:29
でしょうね。。。
Tapi ini bukan dihidupkan semula. Kalau yang itu memang pasti tak boleh lah kan. Lebih kepada menjelma.
Teori satu : Dia hanya datang merayau di dunia fana, atau alam barzakh ialah lapisan alam yang terletak di dunia fana. Maksudnya, roh boleh pergi ke dunia fana tanpa meninggalkan alam barzakh.
Teori dua : Sensei aku tipu. Jin baik datang menjelma sebagai atuk aku. Jin jahat datang menjelma sebagai atuk aku. Tapi yang ketiga tu macam mengarut sebab motif dia semestinya adalah untuk menakutkan aku dan bukan menjaga aku.
Kita tak tau alam barzakh itu macam mana.
Takahara Suiko
24 July 2010 at 13:58